SEMPENA SAMBUTAN HARI KOPERASI SEKOLAH 2008

PERUTUSANY.B. MENTERI PELAJARAN MALAYSIASEMPENA SAMBUTAN HARI KOPERASI SEKOLAH 2008

Saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT
kerana atas limpah dan kurniaNya kita dapat bersama-
sama menyambut perayaan Hari Koperasi Sekolah (HKS)
buat tahun yang ketiga di semua sekolah seluruh negara.
Sambutan pada tahun ini bermula pada 22 hingga 28 Jun
2008 dan akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang
boleh memberi pendedahan kepada pelajar tentang ilmu
koperasi dan keusahawanan. Para pelajar sememangnya
digalakkan mengambil peluang daripada program-program
koperasi sebagai salah satu keaiatan ko-kurikulum di
sekolah. Ini secara tidak langsung berupaya
mengembangkan potensi diri pelajar secara menyeluruh
dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seirnbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
selain memupuk pemikiran positif agar sentiasa
bekerjasama, prihatin dan bertanggungjawab.
Kewujudan koperasi di sekolah sememangnya merupakan
salah satu agenda Kementerian Pelajaran. Setiap sekolah
digalak menubuhkan kcperasi sekolah dan sekaligus
menjadi ahli Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia
(ANGKASA). Saya merasa amat berbangga dan bertuah
kerana ANGKASA sentiasa memberi perhatian kepada
gerakan koperasi sekolah dengan pelbagai program yang
memberi manfaat kepada pelajar.
Dengan gabungan dan jalinan yang terbentuk di antara
Kementerian Pelajaran, ANGKASA dan kcperasi sekolah,
pelbagai program pembangunan dapat dirangka bagi
manfaat bersama. HKS yang turut disambut oleh negara-
negara lain di seluruh dunia merupakan salah satu
daripada program yang dilaksanakan melalui jalinan
kerjasama tersebut. lni memperlihatkan bagaimana
kerajaan, menerusi Kementerian Pelajaran prihatin
dengan gerakan koperasi sekolah yang terbukti mampu
memainkan peranan memupuk sifat keusahawanan di
kalangan pelajar. Selain itu, kementerian juga turut
melihat kepada sinergi yang wujud di antara Kelab
Usahawan Muda dan koperasi sekolah yang boleh
digembeling bersama untuk memberikan impak yang lebih
besar kepada pelajar.
Dalam usaha menjayakan HKS, para pelajar secara tidak
langsung dapat turut mempelajari bagaimana untuk
mengendalikan sesuatu aktiviti atau projek dengan
panduan dan nasihat daripada guru-guru koperasi. Di
samping itu, peluang yang ada dapat digunakan oleh
pelajar dan warga sekolah untuk berjumpa dan bermesra
dengan masyarakat setempat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) serta agensi-agensi kerajaan lain yang turut
serta bekerjasama dalam menjayakan HKS. Ini juga
merupakan satu langkah positif bagi membina rangkaian
kerjasama yang erat bukan sahaja dalam bidang
keusahawanan, malah dalam pelbagai bidang yang lain
juga. Diharapkan kerjasama ini dapat diterus dan
diperluaskan di masa akan datang bagi manafaat warga
sekolah semua.
Tahniah diucapkan kepada semua warga sekolah yang telah
melaksanakan HKS 2008 dengan jayanya. Selamat menyambut
Hari Koperasi Sekolah.

DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

No comments: